Pesan Ayoh Long Losong Haji Mat

A + A + A = A

Pernah dulu. Kira2 10 tahun dulu. Di Uniten dulu.

Setiap perkara yang kita buat, bersandarkan kepada 3 A. Nak buat pilihan, ukur dengar tiga A ini.

A pertama ialah AGAMA. Hendak bermain bola, apakah agama kata boleh. Jika boleh, main la sebanyak mana pun. Jika main tanpa peduli waktu solat, maka itu Agama kata tak boleh. Ikutlah agama, itu yg terbaik.

A yang kedua ialah ADAB. Nak makan atas meja tak jadi haram. Nak bersila atas meja sambil makan nasi atas daun pisang, tak jatuh hukum haram pun selagi makanan tu halal. Akan tetapi, itu perbuatan tak ada adab walaupun agama kata boleh.Patuhilah adab supaya kita nampak sebagai orang bertamadun dan tahu adab, bukannya orang yang tak ada adab.

A yang ketiga ialah ADAT. Perkara ini kita wariskan mengikut bangsa atau kebiasaan (gholibnya). Ada adat melayu, ada adat arab, ada adat cina dan lain-lain. Ikut adat melayu, yang main bola terkinja-kinja itu cuma orang lelaki sahaja. Adat Melayu tak membenarkan orang perempuan baligh mengejar bola di padang mengilai2. Adat resam cina kata, nak masuk kedai baru kena main naga atau singa serta kena bagi ang pow. Ikutlah adat yang baik selagi mana tidak bercanggah dengan dua A yang sebelumnya.

Hiaraki A ini ialah Agama, Adab dan Adat. Ataupun boleh juga jika nak ambil Agama, Adat dan Adab. Seeloknya biarla perkara yang kita nak buat itu mematuhi ketiga-tiganya. Yang pasti, sebagai orang yang beriman kepada hari AKHIRAT, letakkan Agama sebagai panduan pertama dan UTAMA. Jika perkara yang nak dibuat itu melanggar Agama, usah pedulikan jika ia mematuhi Adab dan Adat sekalipun.

Makan daging tak disembelih itu tak dibenarkan oleh Agama. Jauhilah ia sungguhpun ia dihidang dengan penuh adab sopan, dihias cantik mengikut adat bangsa dan kebiasaan.
Akan tetapi jika agama kata boleh, tapi tak berapa cocok dengan adab dan adat, maka halalkanlah ia. Tidak salah kalau bersolat hanya memakai kain pelekat tidak berbaju menutup aurat yang wajib dgn sempurna. Akan tetapi jika dapat mengikut adab seperti berwangi-wangi, berbaju bersih dan cantik, itu lebih baik. Tambah pula jika mengikut adat orang Melayu dengan pakaian istimewa setiap kali solat.

Nak bernikah kawin, pentingkan Agama dahulu. Mana yang dikatakan adat dan beradab itu letakkan sebagai sampingan. Jika dapat dibuat tanpa melanggar agama, maka penuhkanlah ketiga-tiga A itu. Menyarung cincin, membatal air sembahyang, menyuap gula/garam ke mulut pengantin, jika ingin dibuat sebagai mengikut adat, buat lah. Yang penting, Agama tetap no. 1.

Apa lagi contoh2 yang mampu menguraikan perkaitan antara ketiga-tiga A ini?
Nak pergi menziarah orang mati dengan berbaju t shirt lengan panjang bagi perempuan dan seluar longgar. Agama kata salahkah? Adab kata beradabkah? Adat kata ikut adatkah? Atau mesti berpakaian serba hitam seperti mana org agama kristian berkabung? Dan di situlah pentingnya ilmu pengetahuan terutama ilmu agama. Jadi, yang penting ialah kita usahakan seboleh-bolehnya untuk mendapat ketiga-tiga A. Adab dan adat mudah berubah mengikut zaman seperti mana dulu mana ada gadis keluar malam seorang diri, akan tetapi sekarang ni seolah-olah sudah tertepis adab dan adab bila gadis keluar seorang ke tempat futsal, wayang gambar mahupun pasar malam utk mencari dvd cetak rompak. Nak kawin ikut adat resam dan adab, mesti datang ke rumah dulu jumpa orang tua, tapi adat itu sudah tidak jelas lagi ataupun sudah berubah. Tapi Agama tetap tidak berubah. Hukum tetap hukum.

Dipendekkan tulisan, apakah = A?
Tiga A itu ialah panduan hidup kita dalam mebuat keputusan dan pemilihan. = A ialah bila disimpulkan tiga A itu sebagai satu A yakni AKHLAK. Kita diseru hidup dalam akhlak yang baik sepanjang masa. Dari urusan membeli air, minum air dan buang air. Semuanya akan berbeza jika nilai AKHLAK diambil kira. Akhlak dengan Allah sebagai pusat yakni selayaknya kita sebagai hamba kepadaNya utk hidup dengan apa yg disuruh, tinggal apa yg dilarang. Akhlak dengan manusia dan makhluk lain yang diizinkan Allah utk hidup bersama di atas bumi ini pada masa yang ditetapkan.

Nabi diutuskan utk menyempurnakan akhlak kita. Dan tujuannya agar kita hidup sejahtera di dunia dan akhirat pun tak sengsara. Berapa lama masa yang kita perlu ambil utk sempurna akhlak itu tak penting, tapi USAHA BERTERUSAN utk hidup dengan ada AKHLAK itu yang penting. Jika kita hidup dalam keadaan berusaha mengamalkan panduan 3 A utk mendapat Akhlak yang sempurna, kemudian mati dalam usaha itu, insyaAllah, Dia akan permudahkan urusan kita di sana.

Panduan sudah ada, cuma usaha kita utk ikut panduan itu yang kekadang berat utk dibuat. Bersama-samalah kita berusaha untuk istiqomah dalam membuat keputusan berdasarkan 3A=1A. Saling ingat mengingati dalam nada nasihat. Moga ada keberkatan di situ.
A + A + A = Akhlak.. dan juga boleh namakan juga A selepas tanda sama dengan (=) itu sebagai AKHIRAT. Wallahua'alam.

(Suatu pesanan dari bapa kepada anaknya)
-----------------------------------------------------------------------------------------------
Tulisan ini dipetik dengan keizinan daripada tulisan seorang sahabat saya, untuk renungan kita bersama.

Che'Gu Fizik